AM

Jemaah Menteri Ucap Selamat Tahun Baharu Chithirai, Vaisakhi Dan Vishu

14/04/2025 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Beberapa Jemaah Menteri menerusi platform media sosial mengambil kesempatan berkongsi ucapan selamat tahun baharu kepada masyarakat Tamil, Sikh dan Malayalee yang masing-masing menyambut Chittirai Puthandu, Vishu dan Vaisakhi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di platform X berkata Malaysia terus gemilang dengan kepelbagaian budaya yang diraikan.

“Perpaduan yang kita pupuk ini adalah kekuatan sebenar negara. Semoga sambutan ini menjadi titik tolak kepada keharmonian yang lebih utuh, rasa saling menghormati yang mendalam serta memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan kita,” katanya. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Puthandu bukan sahaja menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Tamil tetapi juga lambang permulaan baharu yang dipenuhi harapan, kesejahteraan dan perpaduan.

"Perayaan seperti Puthandu mencerminkan kekayaan kepelbagaian budaya negara kita, dan merupakan asas penting dalam usaha membina sebuah negara yang bersatu padu, saling menghormati dan harmoni.

-- LAGI 

 

MENTERI-UCAPAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR 

 

"Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited dalam usaha memelihara dan memupuk nilai-nilai kebersamaan ini agar Malaysia kekal sebagai negara yang aman, makmur dan bersatu padu," katanya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pula berkata perayaan berkenaan menjadi wahana kepada pembinaan negara yang berteraskan semangat kebersamaan. 

"Setiap detik baharu membuka ruang kepada naratif yang lebih segar, memperkukuhkan tekad kita untuk membina masyarakat yang progresif, inklusif dan mampan. Inilah waktunya untuk menzahirkan iltizam kolektif dalam meneroka potensi bersama," katanya melalui hantaran di platform X. 

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyeru masyarakat meraikan kepelbagaian budaya dan perpaduan melalui sambutan itu. 

"Selamat Menyambut Chittirai Puthandu, Vaisakhi dan Vishu. Semoga sambutan tahun baharu ini membawa sinar kedamaian, kebahagiaan dan kasih sayang kepada anda dan insan tersayang," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang pula berkata sambutan itu memperlihatkan keindahan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi tunjang kepada Malaysia MADANI, sebuah negara yang menghormati, meraikan dan mengangkat nilai inklusif, saling memahami serta hidup harmoni sebagai satu bangsa.

"Perayaan ini bukan sahaja mencerminkan kekayaan warisan budaya dan tradisi komuniti masing-masing tetapi juga melambangkan semangat pembaharuan, harapan dan permulaan baharu yang diraikan bersama keluarga dan masyarakat," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan