JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Tidak Kompromi Banteras Lumba Haram - Aedy Fadly

14/04/2025 04:36 PM

KUANTAN, 14 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram khususnya melibatkan kumpulan mat rempit, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli. 

Beliau berkata JPJ sedia bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan operasi bersepadu bagi mengekang gejala berkenaan. 

“Bagi pihak JPJ, kita akan beri kerjasama jika perlu untuk mengadakan operasi bersepadu bersama PDRM. Ini kerana aktiviti yang sangat teratur dan besar ini memerlukan kerjasama dengan agensi. 

“Sekiranya ada operasi bersepadu selepas ini, sama ada JPJ atau PDRM yang mengetuai, kita akan bersungguh-sungguh mengekang aktiviti ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri JPJ peringkat Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu video tular berdurasi dua minit yang memaparkan sekumpulan individu berlumba dan menghalang kenderaan di Temerloh.

Aedy Fadly berkata pihaknya menyerahkan kepada PDRM untuk melaksanakan siasatan penuh terhadap kes terbabit.

Beliau juga telah mengarahkan pasukannya supaya sentiasa bersedia jika diperlukan PDRM untuk membuat sebarang operasi bagi mengekang kegiatan lumba haram dan mat rempit itu. 

Sementara itu, beliau turut mengajak orang ramai khususnya rakyat Perak untuk hadir ke Karnival Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-79 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada Jumaat dan Sabtu ini. 

“Karnival yang bertemakan ‘Reformasi, Sinergi dan Integriti’ itu akan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan