JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen KL Tahan 30 Warga Asing Dan Tiga Majikan Tempatan

15/04/2025 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Seramai 30 warga asing dan tiga warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam serbuan ke atas lima premis sekitar Bukit Bintang dan Dang Wangi di sini, hari ini.

JIM WPKL dalam kenyataan memaklumkan operasi yang dijalankan bermula jam 4.05 petang itu melibatkan Op Belanja, Op Selera dan Op Dandan membabitkan dua premis runcit, dua kedai makan dan sebuah kedai gunting rambut.

“Seramai 62 individu diperiksa dan 33 daripadanya ditahan terdiri daripada 27 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, seorang wanita Indonesia serta tiga warga tempatan yang merupakan majikan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JIM WPKL, tiga majikan terbabit terdiri daripada seorang lelaki yang ditahan di sebuah kedai runcit, manakala seorang wanita dan seorang lelaki lagi ditahan di dua premis makanan berasingan.

“Kesemua majikan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin,” menurut kenyataan itu

Warga asing yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, empat Borang Imigresen 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

– BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan