DUNIA

Laluan Kereta Api Laos-China Bawa Pulangan Ekonomi Yang Besar - PM Laos

14/04/2025 04:59 PM

BOAO (China), 14 Apr -- Bagi memaksimumkan pulangan ekonomi daripada Laluan Kereta Api Laos-China demi kesejahteraan rakyat, pemimpin kedua-dua negara telah mengarahkan supaya ia dibangunkan sebagai “Laluan Emas” yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone menyatakan demikian dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) ketika menghadiri Forum Boao untuk Asia (BFA) di sini baru-baru ini.

"Kami memberi penilaian tinggi terhadap Laluan Kereta Api Laos-China yang merupakan satu projek strategik di negara kami dan selaras dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) anjuran China yang menekankan pembinaan bersama," kata Sonexay.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri itu berkata analisis berdasarkan data ekonomi menunjukkan Laluan Kereta Api Laos-China telah membawa pulangan ekonomi yang besar melebihi jangkaan dan turut mendorong peningkatan kesalinghubungan Kunming-Singapura melalui landasan kereta api di bawah BRI.

"Pada masa ini, kami sudah berada dalam jaringan perhubungan ini susulan pelaksanaan projek ini, yang seterusnya akan dibina merentasi Thailand dan Malaysia sebelum sampai ke Singapura.

“Saya sangat teruja dengan perubahan yang memberangsangkan yang dibawa oleh Laluan Kereta Api Laos-China, yang benar-benar bermanfaat bagi pembangunan di kawasan-kawasan sekitarnya, dan peningkatan taraf hidup penduduk setempat," kata beliau.

Pada masa sama, Sonexay berkata Laluan Kereta Api Laos-China telah membawa lonjakan besar dalam pengangkutan kargo Laos. Produk utama yang dieksport negaranya ke China, termasuk daging lembu, getah, buah-buahan, dan kekacang. Selain produk pertanian, Laos turut mengeksport banyak bahan mineral seperti arang batu, bijih besi dan mineral logam.

Sejak beroperasi lebih tiga tahun lepas, Laluan Kereta Api China-Laos bukan sahaja menyaksikan perkembangan pesat dalam bidang pengangkutan barang, tetapi juga pengangkutan penumpang yang sibuk. Terdapat lebih 560 pusat peranginan yang terletak di sepanjang laluan itu.

"Industri perkhidmatan pelancongan dianggap sebagai ekonomi yang penting, tidak kira di negara mana-mana pun.

"Ia bukan sahaja membawa makna memudahkan mobiliti keanggotaan, malah membantu rakyat pelbagai negara mengeratkan ikatan persahabatan,” tambah Sonexay.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan