AM

MPPD Ganti Papan Tanda Jalan Dwibahasa Di Kampung Sungai Nipah

14/04/2025 05:34 PM

PORT DICKSON, 14 April (Bernama) -- Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menggantikan sekurang-kurangnya 16 papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Kampung Sungai Nipah di sini dengan papan tanda dwibahasa, kata Yang Dipertua MPPD Hasnor Abd Hamid.

Beliau berkata papan tanda baharu itu masih dalam proses tempahan dan akan digantikan secepat mungkin, dengan nama jalan berkenaan dikekalkan.

“Papan tanda dalam bahasa Cina di kampung itu dipasang sejak 2018. Saya difahamkan, pemasangannya tiada kelulusan MPPD atau pejabat daerah. Jadi, kita akan tanggalkan dan pasang baharu dengan saiz tulisan bahasa kebangsaan yang lebih besar daripada bahasa kedua.

“MPPD akan memastikan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan diutamakan termasuk pada papan tanda dan papan iklan dengan permohonan perlu dikemukakan kepada MPPD,” katanya kepada pemberita selepas meninjau papan tanda kampung itu, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Chuah Yew Boon Lye.

Terdahulu, media melaporkan Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kesal apabila terdapat papan tanda jalan dalam bahasa Cina di kampung itu, dan berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas.

Dalam pada itu, Yew berkata pemasangan papan tanda sejak tujuh tahun lepas itu berkemungkinan disebabkan ramai pengunjung dari China yang datang ke daerah berkenaan termasuk mengunjungi muzium peringatan virus Nipah, sekali gus mahu memberi kefahaman kepada mereka.

Dalam perkembangan lain, Hasnor berkata MPPD melaksanakan penguatkuasaan berkala mengenai larangan penjualan di persimpangan lampu isyarat sebagai langkah menjaga keindahan daerah itu sebagai bandar pelancongan.

“Kita perlu tonjolkan imej yang baik kerana Port Dickson juga akan menjadi antara lokasi untuk mesyuarat kepengerusian ASEAN. Jadi, kita perlu menunjukkan imej yang baik di mata pihak antarabangsa dan kita ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh masyarakat.

“Kita tidak akan menyekat rezeki mereka selagi mereka mematuhi peraturan dan undang-undang, sekali gus memastikan aspek keselamatan terjamin. Kita tidak mahu tiada kawalan terhadap jualan termasuk jual mangga dan sebagainya, itu yang kita saran hentikan jualan di tepi jalan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan