KUANTAN, 14 April (Bernama) -- Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA) Wilson Chang ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub minggu lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kedua-dua individu itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub petang ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Difahamkan, Chow yang juga Penasihat SAMKA dan Chang hadir ke IPD Raub pada jam 4 petang tadi untuk dirakam keterangan.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.
Sementara itu, Yahaya menjelaskan tangkapan terhadap kedua-dua individu terbabit berdasarkan undang-undang yang sedia ada.
Katanya siasatan akan dijalankan dengan telus berhubung kejadian itu dan menasihatkan orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Sebuah portal berita melaporkan setakat ini polis telah menerima 22 laporan berkenaan operasi penguatkuasaan tersebut, yang dibuat antaranya oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial