AM

Mangsa Insiden Kebakaran Saluran Gas Putra Heights Masih Trauma

14/04/2025 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Genap dua minggu berlalu sejak insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang menggemparkan negara ketika umat Islam meraikan Aidilfitri, penduduk terlibat masih trauma dan memilih untuk berpindah ke kawasan lain. 

Chen Ka Kim, 63, berkata kediamannya di Taman Putra Harmoni musnah sepenuhnya dan sejak kejadian itu, beliau sekeluarga tidak boleh mendengar bunyi bunga api atau mercun kerana masih trauma.

"Hari kedua selepas kejadian, saya tinggal di rumah kakak dan apabila kami sekeluarga dengar bunyi bunga api, rasa terkejut kerana masih teringat akan kejadian kebakaran," katanya ketika ditemui pemberita di pusat media berhampiran lokasi kejadian di Putra Heights di sini hari ini.

Susulan itu, bapa kepada dua cahaya mata itu bercadang untuk berpindah dan membeli rumah di kawasan lain.

"Saya terfikir kemungkinan akan berpindah ke rumah lain nanti tetapi keputusan akan dibuat selepas rumah di sini (Taman Putra Harmoni) sudah dibaiki," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menceritakan detik kejadian pada 1 Apri itu, bekas pesara tentera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenaan berkata beliau bersama isteri dan dua anak berusia 23 dan 25 tahun berada di rumah yang didiami sejak lapan tahun lepas.

"Kami sekeluarga keluar dari rumah sehelai sepinggang dan saya hanya sempat membawa telefon bimbit, syukur kami tidak cedera cuma rasa sakit di bahagian belakang badan akibat kesan haba panas," katanya yang kini tinggal sementara di kediaman rakan di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Beliau berharap bantuan yang dijanjikan kerajaan dapat ditunaikan dalam masa terdekat dan mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana kepantasan menyelamatkan mangsa ketika insiden.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA) Datuk Lee Kwang Lock berkata pihaknya mengenal pasti dua ahli persatuan yang terkesan akibat insiden kebakaran terbabit.

Beliau berkata selain Chen, seorang lagi pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Steven Liew, 67, turut terkesan apabila 20 peratus rumahnya di Taman Putra Harmoni rosak.  

"Kami beri sumbangan wang tunai daripada tabung persatuan kepada mereka yang boleh digunakan untuk membantu membeli barang keperluan," katanya.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan