KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Mengenang jasa Tun Abdullah Ahmad Badawi pastinya tidak sempurna jika tidak membicarakan tentang gagasan Islam Hadhari yang menjadi legasi penting pentadbiran Perdana Menteri kelima itu.
Kenyataan visi yang diperkenalkan pada 2004, setahun selepas Abdullah memegang jawatan Perdana Menteri kelima telah menjadi asas kepada pendekatan membangunkan ummah dan negara berdasarkan perspektif ketamadunan Islam.
Islam Hadhari yang menjadi antara tunjang utama kepimpinan Abdullah memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan modal insan dan pembangunan fizikal yang merupakan teras pembinaan sesebuah tamadun. Ia bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang maju berasaskan acuan sendiri.
Berasal daripada keluarga ulama selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), telah membentuk pemikiran Abdullah yang mesra dipanggil Pak Lah ke arah kepimpinan berteraskan Islam selain turut mengimbangkan ciri pembinaan tamadun negara yang diselaraskan menurut kerangka Manhaj Hadhari.
Abdullah menggariskan 10 prinsip asas untuk mencapai Islam Hadhari iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT; kerajaan adil dan beramanah; rakyat berjiwa merdeka; penguasaan ilmu pengetahuan; pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif; kehidupan berkualiti; pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita; pemuliharaan alam semula jadi; keutuhan budaya dan moral; serta kekuatan pertahanan.
Mengulas gagasan berkenaan, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) Datuk Jefridin Atan berkata pendekatan Islam Hadhari telah menyerlahkan Malaysia sebagai model negara bertamadun yang berteraskan Islam, selari dengan kemajuan dan pemodenan di seluruh dunia.
"Identiti Malaysia di mata dunia terkenal dengan semua pelaksanaan program pembangunan ekonomi ummah yang bersifat pragmatik dan berimpak. Kerajaan juga menerapkan amalan nilai Islam tanpa mengenepikan sebarang sentimen terhadap kaum bukan Islam," katanya.
Jefridin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Johor berkata legasi Islam Hadhari dapat dilihat hingga ke hari ini dalam pengurusan dan pentadbiran negara seperti sistem perbankan dan kewangan Islam serta ekonomi halal.
Pelbagai institusi berteraskan Islam juga dibentuk antaranya Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia dan Program j-QAF dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.
Beliau berkata pendekatan itu menjadikan Islam sebagai asas dalam proses pentadbiran dan pengurusan negara serta kesinambungannya dapat dilihat pada hari ini melalui gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kelangsungan dasar berteraskan Islam terserlah selepas Pak Lah mengilhamkan Islam Hadhari. Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pendekatan Wasatiah (kesederhanaan), Malaysia MADANI juga mempunyai teras agama (Ad Din)," katanya.
Selain diterima baik oleh masyarakat bukan Islam di Malaysia, Jefridin berkata konsep Islam Hadhari turut mendapat mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Ini dapat dilihat melalui kerjasama antara Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan beberapa negara seperti Taiwan, Jepun, Sepanyol dan Uzbekistan yang melihat Malaysia sebagai model dalam membina peradaban Islam dalam era masa kini.
Menurut Jefridin LEGASI masih aktif bekerjasama dengan beberapa institusi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Islam Hadhari UKM dalam mempromosikan program berbentuk advokasi seperti syarahan, forum dan perbincangan meja bulat.
"Legasi Pak Lah seperti Ekonomi Halal juga turut diperjuangkan oleh LEGASI dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM serta Kyoto University di Jepun," katanya.
Jefridin berkata program yang dilaksanakan dengan pihak akademia memastikan kelangsungan legasi Islam Hadhari selain memperlihatkan idea yang diilhamkan Pak Lah bersifat universal dan sesuai dengan sebarang perkembangan dan perubahan zaman.
Ibarat peribahasa ‘harimau mati meninggalkan belang’, legasi Pak Lah melalui Islam Hadhari. Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam ini selepas mengalami kesukaran bernafas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial