Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- “Beliau bukan sekadar Perdana Menteri, beliau seorang pemimpin yang mendidik rakyat erti kasih sayang, kesederhanaan dan nilai-nilai murni, terasa berat hati ini untuk melepaskan Allahyarham.”
Itu luahan Nor Hanani Md Isa,45, seorang pekerja swasta yang merupakan antara ribuan rakyat yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Melafazkan doa yang tidak putus-putus, Nor Hanani datang bersama anaknya dari Shah Alam, Selangor seawal 9 pagi kerana Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, adalah pemimpin yang sangat dekat di hati rakyat.
“Sepanjang perjalanan ke sini tadi, saya sentiasa berdoa agar urusan tokoh negara kita ini dipermudahkan. Begitu berat rasa hati ini untuk melepaskan pemimpin yang sangat disayangi, yang merupakan ‘role model’ kepada kita semua.
“Pak Lah memimpin negara kita sekejap (tidak lama) namun impak dan kesan sentuhannya berpanjangan, malah dikenang hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama di pekarangan Masjid Negara di sini hari ini.
Senada dengan Nor Hanani, peguam berasal dari Sarawak Alan Ling, 42, yang turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada negarawan berjiwa rakyat itu.
“Saya hadir hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada Pak Lah. Beliau seorang yang sangat merendah diri dan contoh sebenar pemimpin Malaysia yang sederhana. Beliau menghormati semua orang tanpa mengira latar belakang mereka.
“Pak Lah dikenali sebagai 'Nice Guy' dalam politik dan saya percaya rakyat Malaysia mengagumi serta berbangga dengan kepimpinan beliau yang lembut dan ikhlas,” katanya.
Peniaga tekstil K. Arvind, 49, pula menyifatkan pemergian Tun Abdullah sebagai satu kehilangan besar kepada tanah air.
“Pak Lah ini begitu ikonik dengan sifatnya yang cukup sederhana. Semasa pemerintahan beliau meskipun berhadapan pelbagai cabaran, beliau kekal tenang dan kita sebagai rakyat pun dapat merasai kepimpinan, semangat muafakat yang dibawa,” katanya.
Menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang bapa dalam kalangan penduduk Kepala Batas, Shahrizal Sudin, 45, pula berkata Tun Abdullah telah berjasa besar kepada pembangunan di Kepala Batas.
"Saya anak jati Kepala Batas dan datang kerana mengenangkan jasa Pak Lah sebagai Perdana Menteri kelima. Beliau juga, saya sifatkan sebagai negarawan dan seorang ayahanda khususnya bagi kami di Kepala Batas.
"Memang kasih dan sayang kami tertumpah kepada Pak Lah kerana telah membawa banyak manfaat pembangunan kepada kawasan kami," katanya.
Alfian Amy, 37, dari Gombak yang hadir bersama rakan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Tun Abdullah, menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai pemimpin Islam bersederhana dalam pentadbiran dan sangat menekankan nilai-nilai positif.
Allahyarham Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 7.10 malam tadi dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial