EKONOMI

EXIM Bank, Pertama Ferroalloys Meterai Perjanjian Biaya US$20 Juta

16/04/2025 10:41 AM

KUCHING, 16 April (Bernama) -- EXIM Bank Malaysia dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembiayaan bekalan bernilai US$20 juta (US$1=RM4.41) di acara Ekspo 2025 Osaka di Jepun, pada Isnin.

Pertama Ferroalloys mengendalikan operasi kilang peleburan aloi mangan dan ferrosilikon pertama Malaysia di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, Sarawak.

Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat itu menyifatkan perjanjian strategik itu sebagai pencapaian penting bagi pelabur asing di Samalaju.

“Ia juga dijangka memberi sumbangan secara signifikan kepada pengembangan ekonomi Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Perjanjian itu telah dimeterai oleh Pengerusi Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Hirotaka Suzuki dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Malaysia Nurbayu Kasim Chang, di Pavilion Malaysia pada Isnin.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Datuk Hairil Yahri Yaacob dan Pengarah merangkap Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Yuki Nakamura.

Suzuki berkata pelaburan besar itu dapat memperkasakan Pertama Ferroalloys untuk terus memantapkan proses pengeluarannya, membuka jalan terhadap pembangunan infrastruktur penting, melonjakkan aliran modal di Sarawak dan mewujudkan peluang pekerjaan penting untuk rakyat Malaysia, terutamanya di Sarawak.

Langkah itu juga, katanya, secara langsung dapat menyokong matlamat digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.

Dalam pada itu, Nurbayu berkata kemudahan pembiayaan itu menjadi langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan perdagangan selain dapat mengembangkan jejak ekonomi Malaysia di peringkat global secara ketara.

"Di EXIM Bank, kami amat berbangga untuk bersama dengan Pertama Ferroalloys, menyokong usaha syarikat dalam mengoptimumkan pengeluaran dan kecemerlangan operasi mereka.

“Kerjasama ini juga jelas memaparkan komitmen padu EXIM Bank dalam memacu pertumbuhan perdagangan mampan selain mengukuhkan peranan penting Malaysia dalam ekonomi global yang saling berkaitan,” katanya.

Ekspo 2025 Osaka, Jepun merupakan ekspo dunia yang berlangsung mulai 13 April, 2025 hingga 13 Okt, 2025 dan mengetengahkan tema “Designing Future Society for Our Lives.”

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan