KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Duta asing di Malaysia mengucapkan takziah dan turut merasai kesedihan bersama rakyat Malaysia atas pemergian bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, menghormati legasi beliau sebagai seorang negarawan.
Antaranya ialah Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata dan Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi yang memberi penghormatan terakhir dan menghadiri Istiadat Pengebumian Negara yang diadakan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang, Selasa.
Abdullah, 85, yang merupakan perdana menteri Malaysia kelima, meninggal dunia pada 7.10 malam di Institut Jantung Negara pada Isnin.
Dalam hantaran di akaun rasmi Instagram, bersama gambar Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang di perkarangan kedutaan, Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur menyatakan: “Dengan rasa dukacita yang mendalam kami menerima berita pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri Malaysia.
“Salam takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga beliau dan seluruh rakyat Malaysia.”
Dalam satu hantaran di X, Kedutaan Iran di Malaysia menyatakan: “Menghadiri upacara pengebumian Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), bekas Perdana Menteri Malaysia, di Masjid Negara hari ini.”
Kedutaan itu turut berkongsi gambar dutanya memberikan penghormatan terakhir di Masjid Negara.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia turut merakamkan penghormatan kepada bekas Perdana Menteri dengan memuat naik gambar hitam putih mendiang bersama mesej: “Salam takziah di atas pemergian bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Doa dan ingatan kami bersama keluarganya, sahabat handai serta rakyat Malaysia pada waktu yang sukar ini. Al-Fatihah.”
Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan di Malaysia pula menerusi Instagram berkongsi bahawa Pemangku Pesuruhjayanya, Jabu Msibi, telah menandatangani nota takziah, hari ini.
“Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga Tun Abdullah Ahmad bin Haji Ahmad Badawi dan seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu yang turut disertakan video semasa penandatanganan tersebut.
Abdullah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial