SIBU, 15 April (Bernama) -- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyeru majlis-majlis tempatan dan ahli majlis untuk memainkan peranan aktif dalam merealisasikan aspirasi negeri menjadi sebuah wilayah yang progresif, makmur, inklusif dan lestari menjelang 2030.
Bercakap kepada media selepas menyaksikan majlis angkat sumpah ahli-ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di sini hari ini, Dr Sim mengingatkan semua ahli majlis baharu dan yang dilantik semula agar terus rapat dan berhubung dengan komuniti yang mereka wakili.
“Arah tuju kita adalah 2030 – tetapi kita perlu bekerja keras untuk mencapainya. Perjalanan ini pasti ada cabarannya, kerana kita semua berbeza, namun setiap individu boleh menyumbang secara bermakna,” katanya.
Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, turut menggalakkan ahli-ahli majlis yang menamatkan perkhidmatan agar terus terlibat dengan masyarakat dengan menyokong pengganti mereka.
“Jangan tukar nombor telefon hanya kerana anda bukan lagi ahli majlis. Anda masih boleh membantu dengan memperkenalkan ahli majlis baharu kepada komuniti dan membimbing mereka dalam tugas,” katanya.
Mengulas mengenai masa depan bangunan MPS, Dr Sim berkata pejabat sedia ada akan dipindahkan sebagai sebahagian daripada Projek Pembangunan Semula Bukit Assek yang dijadualkan bermula pada suku akhir tahun ini.
Menurut beliau, bangunan baharu majlis itu dijangka dibina dalam kawasan pembangunan semula berkenaan, berkemungkinan berhampiran kawasan tebingan sungai.
“Saya akan berbincang dengan Pengerusi MPS, Clarence Ting untuk mengenal pasti lokasi paling sesuai. Apabila semua sudah bersedia, kita akan bawa cadangan ini kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk kelulusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pentingnya majlis tempatan memiliki bangunan sendiri yang dibina khusus bagi tujuan pentadbiran dan perkhidmatan awam.
“Apa jenis kuasa yang dimiliki majlis jika beroperasi di bangunan milik orang lain? Pejabat majlis harus menjadi ruang awam – lengkap dengan kemudahan sesuai dan direka bentuk agar membangkitkan rasa kepunyaan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
Dr Sim memberi contoh Majlis Bandaraya Miri dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang berjaya menggabungkan kompleks majlis dengan kemudahan awam seperti taman dan auditorium, sekali gus menjadi pusat tumpuan komuniti.
“Ketika ini, orang hanya ke pejabat MPS untuk bayar bil – itu bukan cara yang kita mahukan. Saya mahu mereka berkata: ‘Ini bandar saya. Saya guna kemudahannya. Saya bangga dengannya’,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial