ISTANBUL, 16 April (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa China kini berdepan kadar cukai baharu sehingga 245 peratus ekoran tindak balas perdagangan oleh Beijing, menurut kenyataan Rumah Putih pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Langkah itu menyusuli arahan pentadbiran terbaharu Presiden Trump yang melancarkan siasatan keselamatan negara terhadap import bahan mentah penting.
Arahan itu turut memperincikan penjelasan untuk tarif timbal balik yang diumumkan pada 2 April lalu.
“China kini berdepan tarif sehingga 245 peratus ke atas import ke AS susulan tindak balas perdagangan mereka.
“Lebih 75 negara telah menghubungi AS untuk merundingkan perjanjian dagang baharu. Sehubungan itu, tarif yang lebih tinggi terhadap negara-negara lain kini ditangguhkan bagi memberi laluan kepada rundingan, kecuali China yang bertindak balas.
“Beberapa bulan lalu, China mengharamkan eksport galium, germanium, antimoni serta pelbagai logam lain yang berpotensi digunakan dalam sektor pertahanan.
“Minggu ini, China turut menggantung eksport enam logam nadir bumi berat serta magnet nadir bumi – komponen penting dalam sektor automotif, aeroangkasa, semikonduktor dan kontraktor ketenteraan global,” menurut kenyataan rasmi itu.
Walaupun kadar tarif sebenar tidak dinyatakan secara terperinci, kenyataan itu memberi bayangan bahawa kadar tertinggi boleh mencecah 245 peratus.
Sebagai tindak balas, China minggu lalu menaikkan tarif ke atas produk AS sehingga 125 peratus, manakala Presiden Trump pula menaikkan tarif ke atas barangan dari China kepada 145 peratus namun mengenakan tempoh penangguhan 90 hari bagi tarif ke atas produk dari negara-negara lain.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial