AM

Keluarga Miskin Lega Nikmati Bekalan Air Bersih

16/04/2025 04:02 PM

KUALA NERUS, 16 April (Bernama) -- Impian sebuah keluarga miskin di Kampung Darat, Batu Rakit di sini untuk menikmati bekalan air bersih hampir menjadi kenyataan.

Jani Yusof, 62, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata dia dan isterinya Maznah Abu Bakar, 43, terpaksa mengangkut air dari paip masjid serta surau berdekatan untuk minuman dan aktiviti seharian sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata mereka terpaksa mengetepikan perasaan malu serta mengerah keringat dan kudrat mengangkut air menggunakan botol plastik yang dikutip dari tong sampah kerana kos pemasangan paip yang mahal.

“Saya ada gali perigi di belakang rumah, tetapi airnya kuning dan berbau. Tidak sesuai untuk minum, memasak, membasuh pakaian dan mandi.

“Memang sangat penat kerana perlu mengangkut air dari masjid tiga atau empat kali setiap hari, tetapi kami tiada pilihan lain. Dua anak kami masih kecil dan tak dapat membantu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Jani berkata beliau amat bersyukur kerana kesusahan mereka sekeluarga mendapat perhatian Pakatan Harapan (PH) Terengganu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata peruntukan RM10,000 diluluskan Pengerusi PH Terengganu Senator Mohd Hasbie Muda bagi tujuan pemasangan paip dan pembelian barangan keperluan lain.

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan paip sejauh kira-kira 310 meter telah dimulakan dan dijangka dapat digunakan pada akhir bulan ini.

“Kita telah menyelesaikan urusan itu dengan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU). Insya-Allah akhir bulan ini Pak Jani sekeluarga tak perlu susah-susah angkat air dari merata tempat lagi.

“Dengan keadaan kaki kanannya yang cacat dan usia yang sudah lanjut, memang agak membebankan. Ditambah pula dengan masalah kesihatannya," katanya yang turut menyampaikan bantuan peralatan elektrik seperti mesin basuh dan pemanas air elektrik kepada Jani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan