JENAYAH & MAHKAMAH

Tiada Unsur Politik, Lelaki Aibkan PM Anwar Di Tiktok Didakwa Minggu Depan - Polis

16/04/2025 05:20 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- Polis mengesahkan tiada sebarang elemen politik dalam kes seorang lelaki memuat naik video mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di TikTok, dengan niat membangkitkan ketegangan awam serta memboikot Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Pantai Irama, Bachok pada 12 April lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan mendapati tindakan suspek itu berpunca daripada dorongan peribadi dan bukan berkait dengan mana-mana parti politik.

“Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah stesen minyak bertindak atas kehendak sendiri berdasarkan emosi dan pandangan peribadi.

“Polis kini hanya menunggu laporan akhir daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum kes ini dibawa ke mahkamah. Suspek dijangka dituduh pada minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri anjuran Konsortium E-Mutiara Berhad di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan suspek yang ditahan polis pada 11 April lepas, didapati memuat naik sebuah video mengaibkan Anwar di aplikasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin dilapor berkata video itu bukan sahaja mengandungi kata-kata kesat dan julukan tidak senonoh terhadap Perdana Menteri, malah turut menuduh Anwar akan menipu orang ramai semasa kehadirannya pada majlis itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan