AM

Isu Sin Chew Daily: Polis Rakam Keterangan 42 Saksi Setakat Ini

18/04/2025 04:31 PM

RAWANG, 18 April (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan 42 saksi bagi membantu siasatan berhubung isu kesilapan menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lebih ramai individu akan dipanggil untuk membantu siasatan kes itu.

“Setakat ini, siasatan masih berjalan. Sebanyak 40 laporan polis telah dibuat, dan kami telah memanggil 42 saksi, itu sahaja perkembangan terkini,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Balai Polis Bandar Country Homes, di sini hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan balai berkenaan.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar berkenaan ditahan bagi membantu siasatan insiden berkenaan.

Mereka kemudiannya dibebaskan selepas selesai sesi rakaman keterangan untuk siasatan lanjut.

Selasa lepas akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan