AM

MCMC Siasat Kwong Yit Poh Siar Gambar Bendera Tidak Lengkap

16/04/2025 09:46 PM

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memanggil akhbar Kwong Wah Yit Poh susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya, hari ini.

MCMC dalam kenyataan malam ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana kandungan terbabit dimuat naik secara dalam talian.

“Suruhanjaya memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut, sekiranya perlu,” katanya.

MCMC turut memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk media dan orang awam supaya tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh dianggap mempersenda atau memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini. MCMC komited memastikan penggunaan media digital kekal tertib serta menghormati simbol-simbol kebangsaan,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Kwong Wah Yit Poh menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap selepas Sin Chew Daily turut didakwa melakukan perkara sama sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan