Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengekalkan trajektori meningkat dalam tempoh terdekat disokong oleh sentimen yang bertambah baik sejajar dengan prestasi di pasaran tunai.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata bagaimanapun risiko luar masih lagi kekal.
“Tumpuan utama minggu depan adalah lawatan delegasi Malaysia ke Washington, yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk mengadakan perbincangan mengenai tarif.
"Pasaran optimis dalam berhati-hati, mengambil kira hasil yang pragmatik memandangkan rekod prestasi baik Tengku Zafrul dalam diplomasi perdagangan. Rangka kerja yang jelas untuk menangani tarif era Donald Trump boleh meningkatkan lagi sentimen," katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2025 meningkat 49.0 mata kepada 1,497.0, Mei 2025 menambah 48.0 mata kepada 1,494.5, Jun 2025 menokok 46.5 mata kepada 1,489.5, dan September 2025 naik 45.0 mata kepada 1,475.0.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 38,435 lot daripada 75,774 lot sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 43,793 kontrak daripada 47,008 .
Indeks petunjuk pasaran tunai meningkat kepada 44.64 mata kepada 1,499.40 daripada 1,454.76 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial