Oleh Khatijah Jistoh
SEMPORNA, 17 April (Bernama) -- Kampung Kuala Bibang, sebuah perkampungan pertanian dan nelayan di sini menjadi contoh terbaik kejayaan transformasi luar bandar menerusi penggunaan teknologi moden.
Berbekalkan dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bernilai RM100,000, penduduk Kampung Kuala Bibang berjaya menghasilkan produk ikan masin berkualiti tinggi dengan kapasiti pengeluaran setengah tan sehari, naik lima kali ganda berbanding kaedah tradisional menerusi projek teknologi pengeringan rumah haba pintar yang dikenali sebagai i-Sun dryer.
Ahli komuniti Persatuan Penduduk Kampung Kuala Bibang Mohamad Nawir berkata peningkatan pengeluaran ikan masin itu berjaya menambah pendapatan ahli komuniti di kampung yang berkeluasan kira-kira 15 hektar itu.
“Saya bersama ahli komuniti lain termasuk keluarga mengusahakan ikan masin sejak 10 tahun lepas. Sebelum ini kami menggunakan kaedah pengeringan ikan masin secara tradisional iaitu menjemur secara terbuka di bawah pancaran matahari dan ia mengambil masa sehingga tiga hari.
“Menerusi kaedah tradisional ini kami boleh menghasilkan 100 kilogram ikan masin dalam tempoh seminggu tetapi bergantung kepada cuaca. Proses pengeringan cara konvensional ini perlu kerap dipantau kerana dikhuatiri lalat hinggap atau haiwan yang datang merosakkan ikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohamad berkata idea untuk menggunakan i-Sun dryer tercetus beberapa tahun lepas ketika sedang melayari Facebook dan melihat perkongsian seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenai penggunaan serta kelebihan teknologi berkenaan.
“Ketika itu saya tertarik dengan teknologi berkenaan dan telah menghubungi pihak UiTM terlibat. Setelah beberapa perbincangan dijalankan, pihak berkenaan bersetuju untuk membina i-Sun dryer di kampung ini, tetapi pembinaannya memerlukan kos besar RM50,000,” katanya.
Mohamad berkata Program SejaTi MADANI membuka lembaran baharu buat komuniti Kampung Kuala Bibang apabila mereka berjaya menggunakan peluang itu untuk merealisasikan cita-cita membangunkan teknologi pengeringan moden di kampung berkenaan.
Beliau berkata dua rumah haba pintar berjaya dibina di kampung itu, masing-masing mampu mengeringkan 250 kilogram ikan masin dalam masa tiga jam, dengan proses pengeringan dapat dijalankan tiga kali sehari, sekali gus membolehkan pengeluaran mencecah setengah tan dalam sehari.
“Teknologi i-Sun dryer ini menjimatkan masa pengeringan dengan suhu boleh mencecah sehingga 60 darjah Celsius selain produk ikan masin yang terhasil lebih berkualiti, proses pengeringan ikan lebih sekata dan bersih,” katanya.
Mohamad berkata sejak penggunaan i-Sun dryer, pendapatan komuniti meningkat sehingga 65 peratus daripada hanya RM1,800 sebulan kepada mencecah RM17,000 bergantung kepada permintaan selain penggunaannya tidak hanya terhad kepada ikan masin.
“Sebelum ini kami membekalkan ikan kering di sekitar Semporna dan Tawau kerana stok yang terhad tetapi dengan proses pengeringan yang cepat ini, stok ikan masin yang banyak memudahkan untuk masuk ke pasaran Kundasang, Ranau dan Kota Kinabalu. Ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan komuniti,” katanya.
Selain itu, beliau berkata rumah haba pintar itu juga boleh mengeringkan pelbagai jenis produk antaranya mi dan keropok ikan termasuk cendawan, sekali gus menjadi hasrat ahli komuniti untuk mengembangkan lagi perusahaan antaranya keropok ikan dan cendawan.
“Hal ini boleh menjana pendapatan pihak komuniti dan membuka peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. Kita juga mampu menyahut seruan kerajaan dalam membasmi kemiskinan,” katanya.
Sementara itu, Hasdiana Mohd Dachsan, 43, dan Asmierah Mohd, 32, berkata projek ini bukan sekadar inisiatif komuniti, sebaliknya ia menjadi titik perubahan dalam memperbaiki kehidupan dan ekonomi keluarga mereka.
Muhammad Nadir Abdul Muin, 19, pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah di sini berkata projek yang dilaksanakan Persatuan Penduduk Kampung Kuala Bibang itu memberi peluang kepadanya menjana pendapatan dengan mengambil upah membersih dan membungkus ikan masin ketika cuti sekolah.
Beliau berkata pendapatan itu membolehkannya menabung sebagai persediaan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
SejaTi MADANI adalah inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Pendekatan ini suatu anjakan bagi memperkasa rakyat akar umbi untuk memutuskan sendiri aktiviti ekonomi pilihan mereka dan kerajaan hanya bertindak memantau serta memberi galakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lepas turut memuji Kampung Kuala Bibang yang berjaya membangunkan teknologi pengeringan hasil laut menerusi SejaTi MADANI.
Teknologi berkenaan berjaya memendekkan masa memproses hasil laut kepada tiga jam berbanding tiga hari secara tradisional, sekali gus meningkatkan hasil penduduk kepada RM25,000 sebulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial