KUANTAN, 17 April (Bernama) -- Program Jerayawara dan Seminar Pencegahan Eksploitasi Pekerja: Ke Arah Sifar Buruh Paksa 2030 di zon Pantai Timur berjaya menarik penyertaan hampir 300 majikan dalam usaha mencegah isu buruh paksa dan memerangi eksploitasi pekerja.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Kamal Pardi berkata program jerayawara selama dua hari bermula semalam itu bertujuan untuk memperkukuh kesedaran serta pematuhan terhadap hak pekerja dan standard buruh antarabangsa.
“Konvoi jerayawara ini melibatkan 20 kenderaan, kita mula di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya dengan penyertaan jabatan seperti Majlis Antipenyeludupan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Imigresen Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut mengadakan seminar melibatkan pelbagai agensi dan syarikat antaranya perkongsian oleh MAPO mengenai inisiatif menangani buruh paksa, indikator buruh paksa dan inisiatif oleh JTKSM, cabaran Perintah Tahan Pelepasan (WRO) oleh SD Guthrie Berhad serta cabaran pengambilan pekerja asing oleh Felda Plantation Management Sdn Bhd.
Selain seminar, JTKSM turut membuka reruai berkaitan pencegahan eksploitasi pekerja yang diadakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dan Tunas Manja Mall, di sini bermula 10 pagi hingga 5 petang sepanjang program itu berlangsung.
Kamal berkata JTKSM juga akan memperluaskan program jerayawara itu ke zon Utara bermula di Perak dan diikuti Kedah pada bulan hadapan.
“Kita akan melaksanakan program (jerayawara) itu pada hujung Mei ini dan destinasi terakhir kita adalah di Perlis dengan kita memberi penekanan terhadap kesedaran mengenai penipuan tawaran kerja. Pada tahun lepas kita telah melaksanakan program ini di Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata JTKSM juga telah melaksanakan 189 operasi penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2025.
"Hasil daripada operasi berkenaan, sebanyak 397 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah terbabit, sebanyak 97 kes dikenakan kompaun yang membawa kepada penawaran kompaun bernilai RM972,200," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial