AM

'Vision Zero' Perlu Jadi Keutamaan Negara, Pastikan Tempat Kerja Lebih Selamat

19/04/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye menggesa semua majikan dan pekerja di negara ini menerapkan pendekatan Vision Zero atau sifar kemalangan dalam aspek keselamatan di tempat kerja, yang disifatkan satu keperluan yang boleh dicapai dan bukan sekadar idealisme.

Beliau berkata walaupun banyak organisasi telah menunjukkan usaha ke arah meningkatkan keselamatan di tempat kerja, matlamat utama yang perlu didukung adalah menjadikan Vision Zero sebagai satu nilai bersama diamalkan dalam semua sektor.

“Semakin banyak tempat kerja telah mengambil langkah meningkatkan aspek keselamatan namun saya harap majikan dan pekerja sama-sama beriltizam mencapai Vision Zero ini di tempat kerja mereka,”katanya dalam kenyataan hari ini. 

Vision Zero merupakan strategi pencegahan global yang diperkenalkan oleh International Social Security Association (ISSA), berteraskan kepercayaan bahawa semua kemalangan, penyakit dan kecederaan di tempat kerja boleh dicegah.

“Bagi Malaysia, di semua tempat kerja tidak kira majikan mahupun pekerja, dengan bantuan kerajaan perlu menjadikan Vision Zero satu keperluan yang boleh dicapai,” katanya

Lee turut menggariskan teras strategi Vision Zero, yang berasaskan kepada komitmen kepimpinan, mengenal pasti risiko, menetapkan matlamat yang jelas, sistem keselamatan yang kukuh, budaya pencegahan, latihan kepada pekerja, dan pelaburan dalam modal insan sebagai asas kepada kesejahteraan di tempat kerja.

Beliau berkata Vision Zero penting dan perlu bermula dengan tanggungjawab moral kerana setiap pekerja berhak untuk pulang ke rumah dengan selamat, dan tiada pekerjaan yang sepatutnya meragut nyawa, sambil menekankan bahawa di sebalik setiap statistik ada keluarga dan komuniti yang terkesan akibat kehilangan yang sepatutnya boleh dicegah.

Dari sudut undang-undang dan reputasi pula, beliau berkata pematuhan terhadap standard keselamatan mampu membina kepercayaan awam dan menarik minat pekerja berkualiti

“Pematuhan terhadap standard keselamatan bukan sahaja dapat mengelak daripada dikenakan denda malah membina kepercayaan. Syarikat yang komited terhadap Vision Zero mampu menarik pekerja dan pelanggan yang menghargai etika tersebut,” katanya.

Beliau turut merujuk negara seperti Jerman dan Sweden yang berjaya mengurangkan kematian di tempat kerja dengah menerapkan prinsip Vision Zero, ambil menekankan bahawa ia bukan soal kesempurnaan tetapi penambahbaikan berterusan dan tanggungjawab bersama. 

Lee menyeru supaya semua pihak berkepentingan untuk sama-sama bertindak dan bukan menjadikan Vision Zero hanya sekadar slogan

Vision Zero bukan slogan, ia satu gerakan. Ia adalah matlamat yang boleh dicapai. Tidak kira sama ada majikan, pekerja atau penggubal dasar, mereka semua mempunyai peranan untuk bersama-sama mencapainya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan