EKONOMI

Kad Debit Visa CIMB Yang Pertama Di Malaysia Tawar Manfaat Berkaitan Pengangkutan

17/04/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) memperkenalkan manfaat kad debit berkaitan pengangkutan yang pertama di Malaysia melalui Kad Debit Visa CIMB.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB Group berkata para pengguna akan menikmati pulangan tunai sebanyak 20 peratus untuk tol dan aktiviti berkaitan transit di dalam dan luar negara serta diskaun 30 peratus untuk perjalanan menggunakan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

“Pulangan tunai sebanyak 20 peratus ini boleh dinikmati apabila menggunakan pengangkutan awam di Malaysia seperti KTM, MRT dan LRT dan turut terpakai untuk perkhidmatan teksi, e-hailing seperti Grab serta antara lain pengangkutan bas melalui EasyBook dan Redbus.

“Ia juga termasuk lebuh raya bertol seperti DUKE, KESAS, LDP dan LEKAS, serta tol di kedua-dua Jambatan Pulau Pinang, Tambak Johor-Singapura dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura bersama perkhidmatan pengangkutan lain seperti Kereta Kabel Langkawi,” katanya.

CIMB Group berkata kempen pulangan tunai 20 peratus itu turut meliputi penggunaan pengangkutan awam di luar negara seperti teksi, e-hailing, kereta api dan perkhidmatan bas termasuk Gojek, Uber, Eurostar, JR Railway, serta jalan raya bertol dan jambatan di lokasi-lokasi terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Gurdip Singh Sidhu berkata kempen itu menggalakkan penggunaan kad debit yang lebih meluas dalam rangkaian pilihan pembayaran yang semakin berkembang di seluruh Malaysia dan rangkaian pengangkutan serantau.

“Membantu pelanggan kami memaksimumkan nilai ringgit mereka merupakan contoh bagaimana kami merealisasikan tujuan CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat,” tambahnya.

Kempen pulangan tunai 20 peratus Kad Debit Visa CIMB akan berlangsung sehingga 31 Disember, 2025, manakala diskaun 30 peratus Kad Debit Visa CIMB untuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan berlangsung sehingga 31 Ogos, 2025.

--BERNAMA      


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan