AM

Keterujaan Perantau Pulang Beraya Bertambah Dengan Diskaun Tol

28/03/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Langkah kerajaan memberikan diskaun tol 50 peratus disifatkan sebagai inisiatif yang amat signifikan dalam meringankan beban rakyat bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Langkah yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat itu turut memberi kelegaan kepada perantau khususnya, sekali gus membangkitkan semangat ingin pulang beraya di kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Bagi seorang pekerja kilang di Shah Alam, Muhammad Kamaruszaman, 32, pengumuman kerajaan Selasa lepas itu memberi sedikit kelegaan untuk perantau sepertinya pulang ke kampung, tambahan lagi selepas banyak kos dikeluarkan untuk membuat persiapan raya keluarga.

"Apabila tahu ada diskaun tol terus rasa semangat nak balik kampung dan setiap kali musim perayaan, perbelanjaan memang bertambah dengan petrol, tol dan belanja raya untuk anak-anak. Jadi, walaupun diskaun ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, ia cukup bermakna untuk kami yang bergaji sederhana," katanya yang berasal dari Taiping, Perak. 

Sementara itu, penolong kaunselor Nursyahadah Mohd Khidir, 26, yang merancang perjalanan pulang ke Rembau, Negeri Sembilan berkata pemberian diskaun itu membantunya dalam menguruskan kewangan dengan lebih baik. 

"Ini merupakan raya pertama saya bersama suami sebab saya baru berkahwin. Jadi kami memang merancang untuk urus kewangan bila balik raya. Apabila dengar ada diskaun tol 50 peratus, kami terus teruja nak balik sebab ia dapat bantu kami lebih berjimat,” katanya yang bertolak pulang 4 petang ini. 

Sementara itu, pasangan suami isteri, Mohd Aswad Jaffar, 33, dan Rahida Gahalzi, 35, memilih pulang ke Alor Star, Kedah hari ini bagi mengelak kesesakan dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan diskaun tol 50 peratus.

Mohd Aswad berkata mereka bertolak pada 5 pagi tadi dari Kuala Lumpur dengan keadaan hujan sepanjang jalan namun bersyukur kerana tiada kesesakan kecuali pertambahan bilangan kenderaan bermula di Juru menghala ke utara.

Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS) Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan inisiatif berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan yang lebih baik. 

"Ini antara bukti keprihatinan Kerajaan MADANI yang mahu memastikan rakyat dapat berjimat dalam aspek kos pengangkutan selain dapat membantu mengawal aliran trafik," katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi Selasa lepas mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri ini bermula 12.01 tengah malam 28 Mac dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac. 

 Inisiatif Kerajaan MADANI itu akan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan