TAPAH, 17 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan berusaha menawan sokongan pengundi ‘kelabu’ atau atas pagar terutama dalam kalangan anak muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini memerlukan pendekatan khusus menerusi sesi dialog dan penerangan yang telus berhubung isu-isu semasa serta hala tuju parti.
"Anak muda tidak boleh dibiarkan terus keliru atau menjadi mangsa kepada mainan persepsi politik yang tidak berasas," katanya kepada pemberita ketika turun padang meninjau gerak kerja jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata gerak kerja parti itu pada kempen PRK yang memasuki hari keenam hari ini, berjalan lancar dengan usaha menyantuni seramai mungkin pengundi sedang giat dijalankan.
Beliau berkata setiap PDM telah ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan jentera parti dapat mengurus kempen dengan teratur dan berkesan.
Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial