DUNIA

Isu Palestin Satukan Rakyat Malaysia, Parlimen Tekad Terus Jadi Suara Lantang - Johari Abdul

19/04/2025 09:01 AM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Isu Palestin bukan hanya menyentuh dasar luar Malaysia, malah merupakan isu kemanusiaan, moral dan prinsip yang menyatukan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

“Parlimen Malaysia akan terus menjadi suara lantang di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah lama dizalimi,” kata Johari menerusi satu kenyataan memetik ucapannya pada Mesyuarat Kumpulan Parlimen Menyokong Palestin yang berlangsung di Istanbul, Turkiye baru-baru ini.

Mesyuarat itu menghimpunkan Speaker dan Presiden Parlimen dari seluruh dunia dalam semangat solidariti memperjuangkan hak rakyat Palestin, menzahirkan kebersamaan komuniti antarabangsa dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang berlanjutan.

Dalam ucapannya, Johari menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel sejak 18 Mac lalu, meskipun ia dimeterai pada 15 Januari dengan pengantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.

“Sokongan Malaysia bukan bersifat simbolik atau bermusim, tetapi lahir daripada komitmen moral dan dasar luar negara yang berteraskan keadilan sejagat.

“Serangan berterusan terhadap Gaza adalah jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva 1949,” katanya sambil menyatakan bahawa lebih 50,000 rakyat Palestin terkorban sejak Oktober 2023, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Johari turut menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk memindahkan atau menempatkan semula rakyat Palestin secara paksa.

“Itu adalah satu bentuk pembersihan etnik yang sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat antarabangsa,” tegasnya.

Malaysia, katanya, mengecam tindakan Knesset Israel yang melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di beberapa wilayah Palestin, menyifatkannya sebagai satu serangan terhadap sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan terhadap hak lebih 5.9 juta pelarian Palestin yang bergantung kepada agensi itu untuk kelangsungan hidup.

“Malaysia juga menyokong penuh pelan pembangunan semula Gaza yang diketengahkan oleh Mesir dan menyeru agar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dilaksanakan segera,” katanya.

Program rasmi beliau di Istanbul dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, diikuti ucapan pembukaan oleh Speaker Perhimpunan Agung Kebangsaan Turkiye Prof Dr Numan Kurtulmus serta Speaker Majlis Kebangsaan Palestin, Rawhi Fattouh.

Erdogan dalam amanatnya menekankan kepentingan tindakan global bersama bagi menangani penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Mesyuarat turut menyaksikan sesi meja bulat tertutup antara ketua-ketua Parlimen bagi membincangkan halatuju kumpulan itu sebelum deklarasi bersama diluluskan oleh semua delegasi.

Delegasi Malaysia turut menyatakan komitmen untuk terus memainkan peranan aktif, termasuk dalam penyelarasan dasar dan mendesak tindakan antarabangsa yang lebih tegas.

Johari turut menghadiri majlis makan malam rasmi anjuran Speaker Perhimpunan Agung Kebangsaan Turkiye di Esma Sultan Palace, yang menghimpunkan semua ketua delegasi dan ahli parlimen yang menyertai pertemuan berkenaan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA   
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan