JENAYAH & MAHKAMAH

Pergaduhan SKVE: Lelaki Ditahan Ada Dua Rekod Dadah

19/04/2025 08:58 PM

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Shan Gopal Krishnan berkata suspek berumur 50-an itu ditahan susulan laporan mangsa semalam.

"Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh atau melulu di jalan raya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk tindakan lanjut sebaik sahaja siasatan selesai," katanya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 17 April lepas kira-kira 10.25 pagi apabila seorang lelaki berusia 22 tahun yang memandu kenderaan jenis Toyota Estima mendakwa dihimpit oleh kenderaan jenis Perodua Alza semasa melalui SKVE dari arah Kajang ke Bangi.

Pergaduhan berlaku apabila mangsa memberhentikan keretanya dan suspek keluar daripada kenderaan dan menumbuk cermin belakang kereta mangsa sebelum menumbuk mukanya.

Kejadian dirakam kamera papan pemuka kereta milik pengadu dan klip video berdurasi 1 minit 15 saat itu tular di media sosial.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan