ALOR GAJAH, 21 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri sedang menyelaras pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) yang dijangka bermula bulan depan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata program berkenaan akan melibatkan lebih 300 sekolah rendah dan menengah di Melaka sebagai usaha memberi pendedahan berkaitan keselamatan dalam talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.
"Sekarang ini, semua orang mempunyai media sosial termasuk murid sekolah rendah sekali gus menjadikan mereka sebagai satu daripada golongan terdedah dengan pelbagai ancaman siber seperti buli siber, jenayah pedofilia dan penipuan dalam talian.
"Justeru, kita sedang menunggu arahan selanjutnya daripada MCMC pusat untuk kerajaan negeri melaksanakan KIS...mungkin seawalnya pada bulan hadapan atau selewat-lewatnya Jun," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata demikian ketika ditemui pada program Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Rembia yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung.
Menurut Fairul Nizam, selain memberi fokus kepada pelajar sekolah, penganjuran KIS di Melaka juga akan diperluas ke program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dalam usaha menyebarluaskan maklumat berkaitan keselamatan dan risiko jenayah siber sekali gus melindungi pengguna pelbagai peringkat umur daripada menjadi mangsa.
Beliau berkata KIS juga merupakan usaha tambahan yang dilaksanakan kerajaan negeri selain inisiatif menggerakkan 'Task Force Judi Online, Fraud dan Jenayah Cyber’ bagi memerangi jenayah siber dalam kalangan rakyat negeri itu.
"Pasukan petugas (task force) berkenaan telah digerakkan ke sekolah-sekolah di Melaka dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, MCMC dan Jabatan Penerangan, tetapi KIS menambah golongan sasar iaitu murid sekolah bawah 13 tahun," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial