AM

JBPM Kenal Pasti Lebih 1,000 Petugas Obes, 229 Ada Masalah Kesihatan - Ketua Pengarah

21/04/2025 04:18 PM

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah mengenal pasti 1,181 pegawai dan petugasnya yang obes, manakala 229 lagi didapati menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad berkata kebanyakan mereka menghadapi masalah seperti kencing manis, darah tinggi, isu koronari dan pernafasan, kecederaan otot, atau kombinasi dua atau lebih masalah kesihatan.

Beliau berkata petugas JBPM perlu memberikan penekanan lebih kepada aspek mengekalkan kecergasan dan kesihatan semasa menjalankan tugas.

“Kaji semula secara menyeluruh dan perkasakan lagi program intervensi serta pemulihan bagi memastikan anggota kekal dalam keadaan fizikal terbaik, kerana memadam kebakaran memerlukan tahap kecergasan fizikal yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Bomba JBPM Kelantan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun, di sini hari ini.

Nor Hisham seterusnya memberi contoh kegigihan seorang Pegawai Kanan bomba Samsu Bahrin Abu Bakar yang berjaya menurunkan berat badan daripada 104 kilogram kepada 84 kilogram selepas menjalani program yang sesuai.

“Keazaman serta cara pemikirannya wajar dicontohi. Pada mulanya dia hanya menyesuaikan tabiat pemakanannya dan komited untuk berjalan pantas 10,000 langkah setiap hari tanpa gagal selama tiga bulan berturut-turut," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan