SEREMBAN, 14 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan untuk melatih 50,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara menerusi program asas renang dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata ia merupakan antara inisiatif JBPM di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama agensi lain bagi mengurangkan insiden lemas di seluruh negara.
"Berdasarkan kajian, 83 peratus daripada kes lemas dapat dielakkan atau dikurangkan sekiranya (mangsa) mengetahui kemahiran asas renang.
"Jadi untuk tempoh lima tahun akan datang, kita akan sedaya upaya bersama agensi lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program asas renang bagi melatih 50,000 pelajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB JPBM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Nor Arifin Kamari itu, 23 pegawai menerima Pingat Perkhidmatan Bomba (PBB), 58 penerima APC, lapan penerima Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB dan enam penerima Sijil Penghargaan 30 Tahun Perkhidmatan.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata perbincangan awal mengenai perkara itu telah dilaksanakan dan pembentangan terperinci bagi mencapai sasaran berkenaan akan diadakan Julai ini termasuk bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Pendidikan dan pengusaha hotel bagi penyediaan tempat.
"Kita memilih pelajar sekolah kerana struktur pembelajaran lebih mudah dan senang untuk kita menarik golongan ini secara berkumpulan. Ada juga persatuan renang yang tawarkan kepada golongan dewasa tetapi ia agak sukar," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menasihati semua anggota dan pegawainya untuk tidak menyentuh isu sensitif termasuk mengulas polisi kerajaan dan komen peribadi yang menggunakan bahasa tidak wajar sebagai penjawat awam di media sosial.
"Saya tidak menghalang malah meraikan pengunaan media sosial tetapi perlu kawal keterujaan untuk menulis dan mengulas, yang itu kita minta pegawai dan anggota supaya berhati-hati," katanya.
Baru-baru ini, Nor Hisham dilaporkan berkata seramai 19 pegawai dan anggota bomba diambil tindakan integriti dalaman dalam tempoh dua tahun ini kerana membuat ulasan atau komen keterlaluan di media sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial