AM

Pan Borneo Sabah: Empat Pakej Fasa 1A Siap, 12 Pakej Sedang Dalam Pembinaan - Nanta

21/04/2025 06:36 PM

KOTA KINABALU, 21 April (Bernama) -- Sebanyak empat daripada 16 pakej Fasa 1A menerusi pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata baki 12 pakej kerja lagi sedang dalam pembinaan, dengan status kemajuan 81.7 peratus siap.

“Bagi Fasa 1B pula, baki 19 pakej kerja sedang dilaksanakan dengan status kemajuan semasa 3.06 peratus siap,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran Facebook selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.

Nanta berkata pelaksanaan Projek Pan Borneo Sabah menjadi antara inti pati disentuh dalam kunjungan hormat itu.

Beliau berkata kunjungan hormat tersebut diadakan antara lain sebagai ruang kepada pasukan Kementerian Kerja Raya dan agensinya, untuk membincangkan pelbagai isu infrastruktur jalan raya di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan.

Nanta berkata kunjungan itu juga bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah, bagi memastikan kelancaran projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat negeri itu.

“Bagi tahun 2025, sejumlah RM323.69 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program penyenggaraan infrastruktur jalan raya di Sabah,” katanya.

Nanta berkata seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, sinergi kerjasama erat akan terus dipertingkatkan bersama Kerajaan Sabah dalam menjayakan projek infrastruktur di negeri itu dan seterusnya memastikan kemakmuran seimbang dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan