POLITIK

Pemilihan PKR: Akmal Nasrullah Gagal Pertahankan Jawatan Ketua Cabang Johor Bahru

21/04/2025 10:37 AM

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru selepas tewas kepada Mohamad Taufiq Ismail.

Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Pengarah Strategi PKR itu hanya memperoleh 587 undi berbanding 709 undi yang diraih Mohamad Taufik, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.

Keputusan itu diumumkan menerusi laman rasmi Pemilihan PKR 2025 di https://pemilihan.keadilanrakyat.org semalam, yang turut menyaksikan pemilihan serentak bagi sayap Wanita dan AMK parti berkenaan.

Dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Tebrau, penyandangnya yang juga Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran, tewas mengejut kepada ahli perniagaan Prakash Maniam, yang turut mengalahkan seorang lagi pencabar, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah.

Prakash mencatat kemenangan mengejut apabila memperoleh 691 undi, mengatasi Yuneswaran yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR (589 undi) dan Puah, yang merupakan Naib Ketua PKR Johor (560 undi).

Sementara itu, bagi perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Simpang Renggam, bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik, berjaya mempertahankan kedudukannya selepas memperoleh 125 undi, menewaskan dua pencabarnya, Wong Yung Chin (109 undi) dan Yusof Rahman (82 undi).

Di SABAH, satu lagi kejutan berlaku apabila penyandang jawatan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu Datuk Seri Christina Liew gagal mempertahankan jawatan tersebut dalam pertandingan satu lawan satu.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, hanya memperoleh 1,157 undi berbanding pencabarnya Lee Li Mei, iaitu pemimpin komuniti di DUN Api-Api yang meraih 1,381 undi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Kota Belud.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menang besar apabila meraih 1,405 undi berbanding Madeli @ Modily Bangali (100) dan Azhrie Jenaim (67).

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Peto Galim, yang juga Timbalan Pengerusi MPN PKR Sabah, turut mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Sepanggar.

Turut mempertahankan jawatan ialah Timbalan Ketua Penerangan PKR Mohammad Razeef Rakimin, yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah, sebagai Ketua Cabang PKR Tuaran.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan