POLITIK

Jentera BN Gembleng Tenaga Tarik Pengundi Atas Pagar - Ahmad

22/04/2025 12:47 PM

TANJUNG MALIM, 22 April (Bernama) -- Memasuki hari kesebelas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, jentera Barisan Nasional (BN) terus melipatgandakan usaha bagi menarik kira-kira 20 peratus pengundi atas pagar.

Ketua Sekretariat War Room UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata usaha itu diharap membuahkan hasil bagi meningkatkan majoriti undi berbanding yang dicatatkan parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

“Kita perlu kenal pasti dan memujuk selain memberi kefahaman supaya mereka menyedari bahawa DUN Ayer Kuning ini perlu terus kekal menjadi milik kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Jambatan Sungai Liat yang runtuh akibat hakisan di Felda Sungai Klah di sini, hari ini.

Ahmad berkata kerjasama kempen bersama jentera Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar setakat ini, sekali gus berada dalam landasan tepat untuk meraih lebih 15,000 undi.

PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

Pada PRU15, BN yang diwakili Allahyarham Ishsam memenangi kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan