AM

Perubahan Kod Tarif Air Pusat Tahfiz, Kerajaan Perak Hantar Cadangan

22/04/2025 02:24 PM

IPOH, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak sedia memanjangkan cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) supaya pusat tahfiz diklasifikasikan semula bagi penetapan tarif perkhidmatan air susulan dakwaan berlaku kenaikan bil air bulanan di pusat tahfiz.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air Dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kuasa mengubah atau menetapkan tarif perkhidmatan air adalah di bawah kuasa menteri berkaitan atas syor dicadangkan oleh SPAN.

“Mengikut perlaksanaan pelarasan kadar bekalan air iaitu Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air)(Negeri Perak)(Pindaan) 2024 Jadual Kedua (Peraturan 3) iaitu Jenis Penggunaan, Pusat Tahfiz kini telah diseragamkan kategorinya di seluruh Semenanjung dan Labuan di bawah Kategori Sekolah dengan Jenis Penggunaan Bukan Domestik yang dikenakan Tarif 21.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum cadangan Yang Berhormat untuk mengklasifikasi semula pusat tahfiz dan bersedia memanjangkan kepada pihak SPAN untuk pertimbangan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pada 18 April lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri Selama Mohd Akmal Kamarudin menggesa kerajaan negeri mengadakan libat urus bersama pengurusan maahad tahfiz di seluruh negeri ini susulan perubahan kadar kod tarif air yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) terhadap institusi berkenaan.

Beliau berkata perubahan kod tarif daripada 41 iaitu kategori rumah ibadat dan institusi kebajikan kepada 21 iaitu kategori bukan domestik membebankan pengurusan maahad tahfiz.

Perubahan kod tarif berkenaan menyebabkan kenaikan bil air bulanan antara RM500 hingga RM1,000. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan