AM

Kerajaan Persekutuan, Sarawak Komited Beri Peluang Sama Rata Untuk Wanita

22/04/2025 05:49 PM

KUCHING, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersama-sama mengiktiraf kepentingan memastikan peluang yang sama rata untuk wanita dalam pendidikan, sosial dan ekonomi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sokongan yang kuat daripada kerajaan membolehkan pemerkasaan wanita turut terkandung dalam agenda pembangunan negeri.

"Kita telah menyaksikan kemajuan menggalakkan penyertaan wanita dalam politik, khususnya di Parlimen.

"Wanita hanya mewakili 13.5 peratus Ahli Parlimen dan 16.1 peratus Kabinet Kerajaan MADANI, dan jumlahnya agak sedikit di peringkat negeri.

“Namun, wanita-wanita ini telah menunjukkan dedikasi dan memainkan peranan penting dalam memajukan inisiatif negeri," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Penyelarasan Ahli Parlimen Wanita Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (WAIPA) 2025 hari ini.

Abang Johari berkata di Sarawak, wanita mempunyai kualiti dan keupayaan sekali gus meletakkan mereka dalam posisi penting untuk memacu transformasi sosioekonomi negeri.

"Pemerkasaan wanita bukan lagi sekadar soal kesaksamaan dan keadilan malah kini menjadi tonggak asas kepada kemajuan sosial serta ekonomi.

"Pemerkasaan bermakna memberikan ruang kepada wanita untuk menyedari kemampuan diri, bebas membuat keputusan serta menjadi ejen perubahan untuk diri mereka dan orang lain," katanya.

Beliau berkata golongan wanita yang merangkumi hampir 50 peratus daripada populasi Sarawak yang berjumlah hampir tiga juta, pemerkasaan mereka adalah penting dalam menangani cabaran sosioekonomi yang semakin berkembang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan