AM

Bekal Tenaga Elektrik Ke Sabah Selepas Projek Grid Di Utara Sarawak Siap - Julaihi

22/04/2025 07:29 PM

KOTA KINABALU, 22 April (Bernama) -- Sarawak optimis rancangan untuk membekalkan 30 megawatt tenaga elektrik ke Sabah dapat direalisasikan selepas projek Northern Grid Extension di utara negeri berkenaan siap kelak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Datuk Seri Julaihi Narawi berkata berdasarkan kemajuan terkini, projek grid itu sudah di peringkat akhir untuk disiapkan, sekali gus meletakkan sasaran siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. 

“Kita telah menandatangani program pertukaran kuasa dengan Sabah. Pada asalnya, kita bersetuju untuk membekalkan 30 megawatt (tenaga elektrik) kepada Sabah tertakluk kepada siapnya grid di bahagian utara Sarawak. 

“Apabila siap nanti, insya-Allah, kita boleh membekalkan 30 megawatt atau kita boleh tingkatkan kepada 50 megawatt atau 80 megawatt bergantung kepada keperluan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Suruhanjaya Tenaga Sabah dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi mewujudkan penyeragaman dalam kawal selia peralatan elektrik serta kelengkapan gas di sini hari ini. 

Dalam perkembangan berkaitan, Julaihi berkata Sarawak akan menyiapkan projek Borneo Grid terlebih dahulu sebelum mengambil langkah membekalkan tenaga elektrik ke Filipina, seperti disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Julaihi berkata ia adalah rancangan jangka panjang dan memerlukan kajian kebolehlaksanaan dijalankan. 

Beliau berkata Sarawak berhasrat menjadi hab tenaga bukan sahaja untuk kepulauan Borneo tetapi juga Malaysia dan rantau Asia Tenggara pada masa depan. 

Pada 17 Feb lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata Anwar meminta kerajaan Sarawak membekalkan lebihan tenaga elektriknya ke selatan Filipina melalui Sabah bermula tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan