POLITIK

Pengundi Ayer Kuning Dijangka Pilih Calon Juarai Isu Tempatan - Penganalisis

24/04/2025 10:18 AM

TAPAH, 24 April (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sudah hampir sampai ke penghujung dengan tempoh berkempen tinggal sehari lagi, sebelum 31,316 pengundi membuat keputusan di peti undi, Sabtu ini.

Faktor peribadi calon, keupayaan mereka melaksanakan manifesto serta isu-isu tempatan dan nasional yang dibangkitkan sepanjang kempen bakal menjadi pertimbangan pengundi.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata masyarakat di DUN itu dilihat lebih berminat dengan isu infrastruktur asas, perkhidmatan kesihatan serta kebajikan pekebun kecil yang dekat dengan masyarakat di situ berbanding naratif politik peringkat nasional.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata strategi membawa isu seperti 3R (isu agama, kaum dan institusi diraja) atau kenyataan politik berbaur kebencian, tidak berkesan di kawasan luar bandar seperti Ayer Kuning.

“Pengundi di Ayer Kuning ini lebih mengutamakan calon yang boleh membawa perubahan dari segi kebajikan dan pembangunan. Isu nasional seperti Jalur Gemilang tidak sempurna baru-baru ini atau kenyataan politik agama tidak akan mempengaruhi keputusan mereka.

"Jadi boleh dikatakan dalam konteks isu yang dibangkitkan ketika kempen itu, isu setempat lebih penting berbanding isu di peringkat nasional. PRK ini kalau bawa isu nasional memang sukar dapat sokongan pengundi," katanya kepada Bernama.

Ahmad Martadha berkata pendekatan kempen menyantuni pengundi dari rumah ke rumah juga dilihat lebih efektif dalam PRK DUN Ayer Kuning berbanding ceramah besar-besaran kerana calon serta parti bertanding mampu menyampaikan maklumat secara langsung kepada pengundi.

Beliau berkata ceramah berskala besar selalunya dihadiri kumpulan yang sama, sekali gus tidak banyak membantu dari sudut menambah undi. 

Setakat ini Ahmad Martadha melihat calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir yang mempunyai latar belakang bidang akademik mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi DUN berkenaan, apatah lagi apabila dibantu jentera Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu Pensyarah Kanan dan Penyelaras Kluster Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Siti Noranizahhafizah Boyman berkata tumpuan kempen sepatutnya terarah kepada penyelesaian isu setempat dan bukan terus bergantung kepada sentimen 3R.

"Sudah tiba masa untuk semua parti bergerak ke hadapan dengan menggunakan pendekatan lebih baik dalam menarik sokongan pengundi,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan sentimen 3R yang dimainkan ketika berkempen sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada pengundi.

Mengenai pola pengundian, Siti Noranizahhafizah berkata pengundi lebih cenderung untuk memberikan sokongan kepada calon atau parti yang mempunyai perspektif atau pegangan yang sama.

PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan