AM

Konsep MADANI Boleh Diperluaskan Ke Peringkat ASEAN - Dr Jemilah

25/04/2025 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerangka memacu negara ke arah menjadi sebuah negara maju, makmur dan daya saing boleh diperluaskan ke peringkat ASEAN.

Pengarah Eksekutif Pusat Sunway Bagi Kesihatan Planet, Universiti Sunway, Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata nilai teras yang diketengahkan dalam konsep itu seperti keadilan dan kemanusiaan adalah sejajar dengan dengan aspirasi ASEAN,dengan Malaysia mempengerusikan blok serantau itu tahun ini.

“Kepada Perdana Menteri, saya ingin katakan bahawa saya amat menyukai konsep Malaysia MADANI kerana ia seiring dengan kesihatan planet dan kelestarian. Kita perlukan ASEAN MADANI.

“Saya fikir ia perlu bermula dengan menangani isu iklim, keamanan dan keselamatan. Kita mahu beliau menamatkan tempoh Kepengerusian ASEAN dengan kejayaan menyelesaikan konflik dan mencapai resolusi damai,” katanya dalam program ASEAN: Dari Kuala Lumpur ke Dunia terbitan Bernama TV, yang dihoskan Gerard Ratnam malam ini.

Dr Jemilah turut menegaskan penyelesaian damai terhadap konflik serantau, terutamanya di Myanmar perlu menjadi keutamaan.

“Ia adalah rayuan kepadanya. Walaupun sukar, kita semua berdiri teguh di belakangnya dan mahu beliau berjaya.

“Kita perlu beliau beri perhatian serius terhadap perubahan iklim, kehilangan biodiversiti serta krisis planet yang kini sedang kita hadapi. Kita juga perlukan peralihan tenaga yang pantas untuk rantau ini kerana semua krisis ini memberi kesan antara generasi.

“Kita berhutang kepada generasi akan datang untuk meletakkan mekanisme sekarang yang boleh menjadikan kehidupan masa depan mereka lebih baik daripada kita,” katanya.

Dr Jemilah berkata imej Malaysia sebagai negara yang dihormati di persada global boleh digunakan sebagai kuasa lembut dalam berinteraksi dengan negara lain dalam pelbagai isu.

Katanya kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut memberikan kelebihan kerana rantau ini kini terletak di antara dua kuasa besar dunia, sekali gus meletakkan Malaysia dalam peranan penting memastikan ekonomi dan perniagaan serantau terus berkembang.

Konsep Malaysia MADANI diperkenalkan Anwar pada 19 Jan 2023 sebagai inisiatif inklusif merangkumi semua kaum dan lapisan masyarakat bagi mengembalikan maruah negara di peringkat global serta memacu pembangunan dan kemakmuran negara.

Dr Jemilah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri dan merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi serta Majlis Tindakan Perubahan Iklim kerajaan Malaysia.

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Felo Kanan di Adrienne Arsht-Rockefeller Foundation Resilience Center, sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada cabaran perubahan iklim dan keselamatan manusia, dengan matlamat memperkasakan satu bilion orang menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan