EKONOMI

TPM Fadillah Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak Tenaga Di London

24/04/2025 02:08 PM

Daripada Salawaty Supardi

LONDON, 24 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Future of Energy Security yang akan bermula pada Khamis ini, di sini.

Sidang kemuncak anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan United Kingdom (UK) itu yang berlangsung di Lancaster House akan menghimpunkan penggubal keputusan dari seluruh dunia untuk merangka pelan tindakan bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin pada masa depan. 

Fadillah yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air tiba di sini pada Rabu selepas lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Istanbul, Turkiye, dan akan mengambil bahagian dalam Sesi 1 bertajuk Pemetaan Landskap Keselamatan Tenaga-Mentakrifkan Pendekatan Holistik serta sesi Meja Bulat: Keselamatan Elektrik-Memastikan Keselamatan dalam Era Elektrik.

Turut menyertai Fadillah ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Mareena  Mahpudz dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili.

Selain menghadiri sidang kemuncak itu, Fadillah juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Eksekutif IEA Dr Fatih Birol dan Setiausaha Negara UK bagi Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih Ed Miliband.

PETRA menerusi satu kenyataan  berkata, fokus utama sidang kemuncak itu adalah mengenai keselamatan sumber dan bekalan tenaga, termasuk memetakan landskap keselamatan tenaga serta mengenal pasti risiko, peluang dan tindakan dalam memastikan keselamatan sumber dan bekalan tenaga.

Melalui sidang kemuncak itu, dasar dan hala tuju sedia ada Malaysia, khususnya berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga serta usaha dan komitmen negara untuk melaksanakan penjanaan tenaga menggunakan sumber bahan api bersih dan teknologi hijau, akan diketengahkan.

Selain itu, hubungan dua hala antara Malaysia dan UK akan diperkukuh melalui potensi kerjasama khususnya dalam penggubalan dasar, peraturan dan perundangan, serta memahami cabaran dan penyelesaian terbaik untuk memastikan keselamatan dan jaminan bekalan tenaga, kata kementerian itu.

Terdahulu, Fadillah menyertai penduduk Islam di sini menunaikan solat Subuh di Pusat Islam Mayfair.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan