AM

Tuanku Muhriz Titah ADUN Negeri Sembilan Pimpin Negeri Ke Arah Sejahtera, Makmur, Bersatu

24/04/2025 03:03 PM

SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memikul tanggungjawab untuk memimpin rakyat ke arah sebuah negeri yang bersatu, sejahtera, dan makmur.

Baginda turut menekankan bahawa semua wakil rakyat perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek yang telah dirancang serta memastikan projek tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Ingatlah, setiap tindakan dan keputusan kamu sentiasa diperhati rakyat, dengan kemajuan dunia digital tanpa sempadan, segala dilakukan mudah diketahui.

“Berbahaslah dengan penuh rasional, intelektual, dan pastikan setiap hujah dikemukakan memberikan manfaat kepada masyarakat dan menyelesaikan permasalahan dihadapi oleh rakyat,” baginda bertitah pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini hari ini.

Baginda turut mengingatkan ahli dewan supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz bertitah Peraturan-Peraturan Tetap Dewan juga hendaklah sentiasa dipatuhi semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung.

“Berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan,” titah baginda.

Sementara itu bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026), kerajaan negeri diharapkan berusaha memperkenalkan negeri ini dengan lebih meluas dan memberi impak positif terhadap ekonomi masyarakat setempat.

Baginda bertitah terdapat tiga produk pelancongan perlu diberi tumpuan iaitu pantai peranginan di Port Dickson, produk ekopelancongan dan keunikan budaya Adat Perpatih di setiap daerah di negeri ini.

“Negeri Sembilan mempunyai keindahan alam semula jadi dan pantai yang menerima kunjungan saban hari, kaya dengan warisan dan adat serta kepelbagaian budaya dan identiti tersendiri. Justeru sektor pelancongan merupakan sumber ekonomi mampan dan lestari bagi negeri ini.

“Ini dibuktikan dengan peningkatan kehadiran pelancong iaitu daripada 11.5 juta pada tahun 2022 kepada 15 juta pada tahun 2023. Beta telah disembah maklum bahawa Negeri Sembilan menyasarkan kedatangan 20 juta pelancong pada tahun ini, Sasaran ini adalah bertepatan dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan TMNS 2026,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan