JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kenal Pasti Penunggang Motosikal Sebabkan Kemalangan Ragut Nyawa Pelajar

25/04/2025 05:41 PM

GEORGE TOWN, 25 April (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti penunggang motosikal yang menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan sehingga meragut nyawa seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Jalan Masjid Negeri di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian berlaku kira-kira 5.15 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gelugor dari sekolah di Batu Lanchang.

“Apabila melalui tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal yang lain dari arah kiri telah terlanggar motosikal mangsa. 

“Impak daripada perlanggaran itu, mangsa bergesel dengan sebuah kereta di sebelah kanan lalu terjatuh ke laluan kiri sebelum dirempuh sebuah lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 6.09 petang. 

Individu lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya akan menahan penunggang motosikal terbabit untuk siasatan lanjut, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video memaparkan kemalangan itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi warganet.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan