KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengumpul dan mengesahkan semua fakta berkaitan berhubung dakwaan yang dibuat oleh seorang individu di media sosial mengenai hasil kerja yang tidak diberikan pengiktirafan dan bayaran bagi Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun.
Menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini, pihaknya mengambil maklum dakwaan berkaitan menghasilkan konsep untuk pavilion tersebut yang tular di media sosial dan telah dilaporkan oleh media.
“Kami memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“MITI kekal komited terhadap piawaian integriti dan pematuhan yang tertinggi dalam semua urusannya. Kami akan mengambil tindakan undang-undang apabila perlu,” katanya.
Menurut laporan, seorang individu mendakwa bahawa konsep, tema, naratif dan hala tuju seni bina yang dibangunkan oleh syarikatnya telah digunakan untuk pavilion tersebut tanpa pengiktirafan atau bayaran yang sewajarnya.
Dalam satu hantaran di Instagram, pengguna yang dikenali sebagai “Feythehuman” mendakwa syarikatnya telah terlibat dalam projek itu selama hampir dua tahun sebelum ia “diambil” oleh kementerian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial