AM

Isu Kenaikan ETAP Petugas Kesihatan Dijangka Dimuktamad Jun Ini - Dzulkefly

26/04/2025 01:42 PM

KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- Isu berkaitan kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi petugas kesihatan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Jun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Abu Bakar Sulaiman kini di peringkat akhir rundingan sebelum memuktamadkan keputusan.

"Jawatankuasa ini sedang giat berbincang dan kini di fasa terakhir. Kita harap satu ketetapan dapat dicapai dalam tempoh terdekat.

"Saya amat memahami beban tugas petugas kesihatan yang bekerja tanpa mengira masa, dan berharap segala proses dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada Jun," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program MADANI Afiat Peringkat Kelantan 2025 di Tunjong di sini hari ini.

Dzulkefly berkata aspek kebajikan petugas kesihatan sentiasa diperjuangkan dan menjadi keutamaan beliau sepanjang mengemudi Kementerian Kesihatan (KKM).

"Penantian satu penyiksaan. Saya sendiri berharap perkara ini dapat dimuktamadkan pada Mei kerana saya tahu mereka sangat bekerja keras. Kita sudah sampai ke penghujung perbincangan. Insya-Allah, kali ini kita akan selesaikannya secara tuntas,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan KKM telah mendapat persetujuan untuk menaikkan ETAP bagi petugas kesihatan dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat nanti.

ETAP merupakan imbuhan atas tanggungjawab tambahan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan dalam merawat pesakit semasa bertugas 'on-call' di hospital selepas waktu bekerja biasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan