AM

KKM Pantau Rapi Tarif Baharu AS, Fokus Peranti Perubatan Dan Produk Farmaseutikal

26/04/2025 03:23 PM

KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau rapi dua perkara utama susulan tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melibatkan peranti perubatan serta produk farmaseutikal.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata meskipun sebelum ini Trump menyatakan akan memberi pengecualian tarif terhadap farmaseutikal, perkembangan terkini menunjukkan sebaliknya.

“Beberapa tarif yang diumumkan itu belum diperincikan sepenuhnya dan Trump memang tidak dapat dijangka. 

"Justeru, kami sentiasa berjaga-jaga, meneliti setiap perkembangan dan sangat mustahak untuk saya sebagai Menteri Kesihatan memberi perhatian terhadap dua perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program MADANI Afiat Peringkat Kelantan 2025 di Tunjong di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa sama, KKM sedang membuat persiapan awal mencari pasaran serta sumber alternatif bagi memastikan kelangsungan bekalan kesihatan negara tidak terjejas.

Pada 2 April lepas, Trump mengumumkan satu siri tarif timbal balik yang dikenakan terhadap banyak negara, termasuk 24 peratus ke atas import barangan dari Malaysia, namun ia kini ditangguhkan bagi tempoh 90 hari.

Mengenai larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) oleh Kerajaan Terengganu bermula 1 Ogos ini, Dzulkefly berkata kementeriannya bertekad untuk melaksanakan pengawalseliaan secara menyeluruh terhadap produk vape melalui pewartaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Beliau berkata akta berkenaan yang bersifat berdiri secara sendiri akan menjadi asas kukuh dalam mengawal semua aspek berkaitan produk merokok termasuk pendaftaran, jumlah penjualan, pengiklanan serta kandungan nikotin.

“Pendekatan kita adalah untuk mengawal selia secara rapi. Penjualan kepada individu yang belum dewasa tidak dibenarkan sama sekali dan kawalan ketat dikenakan bagi memastikan tiada kelonggaran berlaku,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya memainkan peranan penting melalui kuasa mereka untuk tidak meluluskan lesen premis kepada pengusaha yang menjual produk merokok.

Dzulkefly berkata bentuk kerjasama yang diharapkan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu adalah langkah yang positif demi melindungi kesihatan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan