BAGAN DATUK, 26 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) disarankan supaya berusaha mempelbagaikan produk hiliran berasaskan getah sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan harga komoditi itu dalam pasaran tempatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha itu penting bagi memastikan pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada pengumuman kerajaan untuk mengawal harga, sebaliknya mewujudkan permintaan berterusan terhadap produk berasaskan getah.
“Sebenarnya, getah sekerap boleh menghasilkan produk seperti bahan api bio yang menyerupai diesel dan petrol. Produk ini mendapat pengiktirafan badan-badan piawaian dan mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan.
“Sekiranya akhirnya berjaya dikomersialkan, permintaan terhadap bahan api bio ini akan meningkatkan harga getah sekerap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato' Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.
Selain bahan api bio, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kayu getah matang juga berpotensi dikembangkan untuk industri pembuatan perabot yang berkualiti.
“Saya telah mengarahkan supaya 40,000 hektar tanaman semula getah dilakukan setiap tahun, tetapi kayu getah ini mestilah dirawat terlebih dahulu supaya harganya mahal dan pada masa yang sama daya tahan lebih, dan ini sesuai dengan permintaan pasaran perabot di luar negara.
Di Muar ada zon industri perabot dan mengikut laporan, nilai eksport perabot melebihi RM85 bilion dan lebih 70 peratus bahan ini datang daripada kayu getah. Kita meminta RISDA mencari benih pokok getah yang dapat menghasilkan kayu balak getah yang bersesuaian dengan industri perabot,” katanya.
Beliau optimis, langkah itu bukan sahaja dapat menambah pendapatan RISDA, malah membolehkan agihan dividen kepada pekebun kecil hasil daripada penjualan kayu getah yang dirawat, tanpa bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan.
Karnival KARRISMA merupakan inisiatif RISDA di bawah Aspirasi Desa MADANI yang dicetuskan oleh Ahmad Zahid, bertujuan memperkukuhkan ekosistem pembangunan komuniti pekebun kecil getah di seluruh negara.
KARRISMA Zon Utara ini menampilkan konsep jualan produk usahawan bimbingan RISDA, selain memperkenalkan kedai konsep RisSMart Grocer, sebuah platform pemasaran strategik yang menghimpunkan variasi produk termasuklah daripada entiti RisSMart 24 dan RisSMart Butchery.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial