JENAYAH & MAHKAMAH

TLDM Tonggak Kedaulatan Perairan Negara Terus Diperkasa

27/04/2025 10:48 AM

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR,  27 April (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuh peranannya sebagai benteng utama pertahanan maritim negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen tinggi terhadap keselamatan perairan dan kedaulatan negara.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata kejayaan pelaksanaan projek perolehan aset baharu membuktikan TLDM berada di landasan tepat dalam mempertingkat kesiapsiagaan serta keupayaan tempur pasukan itu.

Antara projek strategik yang kini berjalan lancar mengikut jadual ialah pembinaan kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan perolehan Fast Interceptor Craft (FIC).

“Peletakan lunas LMSB2 telah disempurnakan pada 8 April lepas di Istanbul Shipyard, Turkiye menandakan fasa penting pembinaan kapal yang dijangka siap pertengahan 2026 sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung 2027,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari TLDM ke-91 bertemakan ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’ hari ini.

Zulhelmy turut memaklumkan LCS 1 dijangka diserah kepada TLDM pada Ogos 2026 manakala pelancaran pembinaan LCS 2 dan LCS 3 masing-masing akan dilaksanakan pada Jun 2025 dan Januari 2026.

“Daripada 19 unit FIC yang diluluskan pada 2020 bagi menyokong Operasi Benteng, 14 telah diterima dan selebihnya dijangka tiba menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kemajuan projek strategik seperti LMSB2 dan LCS yang berjalan mengikut perancangan itu membuktikan iltizam TLDM serta kerajaan dalam menjamin kesiagaan dan kelestarian pertahanan maritim negara.

Zulhelmy berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, TLDM juga merancang perolehan dua kapal Multi Role Support Ship (MRSS), tiga kapal LMS Batch 3 dan empat helikopter Anti-Submarine Warfare (ASW), yang kesemuanya dijangka beroperasi sebelum 2035.

“Aset ini bukan sahaja dapat memperkukuh elemen cegah rintang tetapi turut menyumbang kepada keupayaan tempur TLDM. Ia akan dibangunkan melalui kerjasama limbungan tempatan dan antarabangsa bagi memperkasakan industri pertahanan negara ke arah keberdayaan kendiri, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asal luar negara,” katanya.

Selain itu, dalam memastikan kelangsungan operasi, beliau berkata TLDM turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur penting seperti pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Sarawak bagi melindungi kepentingan strategik negara di perairan Borneo.

Zulhelmy berkata selain keutamaan kepada aspek pertahanan, kebajikan warga TLDM turut diberi perhatian serius melalui pelaksanaan projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu.

“Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah RKAT Pusat Hidrografi Nasional, RKAT Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan RKAT Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan. Kemudahan ini penting untuk menjamin kesejahteraan anggota dan keluarga mereka sekali gus meningkatkan motivasi serta kesetiaan kepada perkhidmatan,” katanya.

Mengenai sambutan Hari TLDM ke-91 tahun, Zulhemy berkata ia diadakan secara sederhana tetapi bermakna dengan pengisian seperti Perbarisan Hari TLDM, program derma darah, lawatan kebajikan serta Hari Terbuka Armada di beberapa lokasi Markas Formasi TLDM, termasuk Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan Pangkalan TLDM Sandakan, di Sabah serta Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di Kuantan, Pahang.

Beliau berkata walaupun insiden dua helikopter terhempas ketika raptai perbarisan Hari TLDM di Lumut, Perak pada April tahun lepas yang meragut nyawa 10 warganya masih meninggalkan kesan mendalam, pasukan itu terus melangkah dengan pendekatan secara berhemah dan berorientasikan rakyat.

“Insiden pada tahun lepas terus segar dalam ingatan namun sambutan ini diteruskan sebagai simbol keteguhan warga TLDM. Kami berharap rakyat terus memberikan sokongan dalam usaha mempertahankan kedaulatan perairan negara,” katanya.

Zulhelmy turut menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan Pelan Transformasi 15to5 serta dasar pertahanan maritim yang digariskan akan terus memacu TLDM sebagai angkatan laut moden, berdikari dan disegani di rantau ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan