POLITIK

Kemenangan Calon BN Di PRK Ayer Kuning Sudah Dijangka - Penganalisis

27/04/2025 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam, dianggap sebagai kemenangan yang telah dijangka dan tidak mengejutkan, menurut penganalisis politik.

Penganalisis politik Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, berkata kemenangan BN itu mencerminkan situasi politik semasa di negeri itu, yang menunjukkan kerjasama baik antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

"Keputusan ini sudah dijangka kerana Ayer Kuning merupakan kawasan tradisi UMNO. BN mempunyai kelebihan kerana, dengan gabungan undi penyokong PH, mereka menang dengan selesa," katanya.

"Landskap politik di Perak sangat unik kerana kerjasama politik antara BN dan PH berjalan dengan baik, dan ini tercermin dalam PRK Ayer Kuning. Pemilihan politik yang matang juga dapat dilihat, tanpa isu hangat, hanya isu setempat yang mewarnai polemik dan kempen pilihan raya," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Analisis Keputusan PRK Ayer Kuning" malam tadi.

Calon BN berjaya mempertahankan kerusi Ayer Kuning apabila calonnya Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi, mengalahkan Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (6,059 undi) dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (1,106 undi).

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis, berkata peratusan keluar mengundi yang rendah dalam beberapa siri PRK adalah isu serius yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak

"Dalam konteks PRK, kita perlu mencari jalan untuk membangkitkan semangat pengundi agar melihat setiap pilihan raya sebagai tanggungjawab sivik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan