Oleh Nurliyana Farhah Ruslan
MADINAH, 28 April (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya mematuhi peraturan had muatan bagasi yang telah ditetapkan oleh syarikat penerbangan sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa proses daftar masuk di lapangan terbang.
Pengurus Terminal Madinah Muhammad Fairus Ahmad Aripin berkata setiap jemaah hanya dibenarkan membawa bagasi mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan termasuk berat maksimum serta tidak membawa barangan berbahaya dan terlarang.
“Terutamanya macam pengecas mudah alih (power bank), jemaah diingatkan untuk tidak meletakkannya dałam bagasi yang didaftar masuk, selain diingatkan untuk tidak membawa ubat-ubatan yang mengandungi bahan terlarang atau dadah berbahaya tanpa pengesahan perubatan kerana ia boleh mengundang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata pematuhan terhadap peraturan ini amat penting bagi menjamin keselamatan penerbangan dan mengelakkan kelewatan atau masalah sewaktu daftar masuk.
Selain itu, Muhammad Fairus turut mengingatkan jemaah untuk memastikan semua beg bagasi yang dibawa ke Tanah Suci dilekatkan tanda pengenalan mengandungi maklumat peribadi supaya tidak berdepan masalah termasuk kehilangan selain tertukar bagasi dengan jemaah lain
Beliau berkata seramai 14 petugas pasukan Unit Terminal Madinah telah bersiap sedia menyambut kehadiran kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba pada 7.50 pagi esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa seramai 31,600 jemaah melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines pada musim haji 1446H/2025 ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial