DUNIA

Bursa Malaysia Naik Hari Keempat Berturut-turut, Indeks Komposit Ditutup Pada Paras Tertinggi Harian

28/04/2025 07:45 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian hari ini dengan peningkatan hari keempat berturut-turut, yang mencerminkan sentimen positif berikutan penutupan kukuh Wall Street pada Jumaat lepas meskipun pasaran serantau mencatat prestasi bercampur-campur.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.39 mata atau 0.82 peratus kepada 1,521.59 daripada 1,509.20 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.63 mata lebih tinggi kepada 1,511.83, dan menyusut kepada paras terendah 1,511.48  pada sesi awal sebelum terus meningkat ketika ditutup.

Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 519 berbanding 420 manakala 436 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.61 bilion unit bernilai RM1.74 bilion berbanding 3.10 bilion unit Jumaat lalu bernilai RM1.95 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang tidak mengeluarkan “kenyataan mengejutkan” di platform Truth Social pada akhir minggu ini menyebabkan FBM KLCI memanfaatkan sentimen keyakinan perdagangan berikutan sentimen stabil pasaran berorientasikan eksport seperti Malaysia.

Beliau turut menekankan bahawa, Indeks Permodalan Kecil FBM meningkat 2.9 peratus bagi asas Jumaat hingga Jumaat, menandakan pemulihan ketara permintaan terhadap aset lebih berisiko tinggi -- yang sering dikaitkan dengan sentimen pemulihan di peringkat awal.

Perkembangan positif lain menyaksikan Bursa Malaysia mencatatkan pembelian bersih asing selama tiga hari berturut-turut mulai Rabu hingga Jumaat minggu lepas.

“Kami optimis bahawa momentum ini akan berterusan walaupun berdepan cabaran seperti ketegangan perdagangan dan semakan semula menurun oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

“Daya tahan ini menyerlahkan keupayaan Malaysia untuk menarik minat pelabur walaupun dalam persekitaran luaran yang mencabar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng yakin bahawa  pembelian asing yang kembali giat memberikan impak positif yang kukuh terhadap prestasi pasaran dan sentimen pelabur sekali gus meningkatkan jumlah dagangan harian.

“Kami mengekalkan pandangan optimis namun berhati-hati terhadap perkembangan semasa pasaran tempatan. Bagaimanapun, kami juga yakin sentimen Trump yang berubah-ubah boleh memberi kesan kepada kestabilan pasaran.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,515 hingga 1,535 sebagai paras sokongan dan rintangan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 12 sen kepada RM9.99, Public Bank naik sembilan sen kepada RM4.45, Tenaga Nasional meningkat 4.0 sen kepada RM13.60, Press Metal menokok enam sen kepada RM4.90 manakala CIMB tidak berubah pada RM6.99.

Bagi saham aktif, MYEG dan JCY masing-masing naik setengah sen kepada 91 sen dan 36 sen, SNS Network menokok 2.5 sen kepada 46 sen, Tanco meningkat 2.0 sen kepada 88 sen, CTOS rendah 5.5 sen kepada 99.5 sen, dan Velesto susut setengah sen kepada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 80.97 mata kepada 11,300.81, Indeks FBMT 100 meningkat 81.85 mata kepada 11,071.77, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 64.06 mata kepada 11,148.32, Indeks FBM 70 menambah 84.24 mata kepada 15,875.34 dan Indeks FBM ACE naik 6.52 mata kepada 4,630.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 172.13 mata kepada 18,163.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.88 mata kepada 149.61, Indeks Tenaga meningkat 0.89 mata kepada 675.57 manakala Indeks Perladangan susut 1.30 mata kepada 7,223.62.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.31 bilion unit bernilai RM1.55 bilion daripada 1.43 bilion unit bernilai RM1.70 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.03 bilion unit bernilai RM91.46 juta berbanding 1.29 bilion unit bernilai RM128.76 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE rendah kepada 274.96 juta unit bernilai RM90.13 juta berbanding 378.54 juta unit bernilai RM120.71 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 137.39 juta unit saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (181.12 juta), pembinaan (97.60 juta), teknologi (288.81 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (79.10 juta), hartanah (164.53 juta), perladangan (16.76 juta), REIT (15.42 juta), dana tertutup (28,200), tenaga (126.54 juta), penjagaan kesihatan (77.04 juta), telekomunikasi dan media (46.75 juta), pengangkutan dan logistik (32.37 juta), utiliti (50.72 juta), dan amanah perniagaan (60,500).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan