KANGAR, 28 April (Bernama) -- Seramai 2,000 anak asnaf kelahiran baharu di Perlis akan menerima RM200 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime sebagai permulaan simpanan pendidikan mereka.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata sumbangan berjumlah RM400,000 itu disampaikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Progam Permata Kasih (PEKA) Simpan SSPN.
"Senarai penerima insentif ini akan diuruskan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama agensi dan pihak-pihak yang terlibat di Perlis.
"Setiap anak asnaf yang layak akan menerima sumbangan RM200 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime yang merupakan antara permulaan simpanan pendidikan mereka," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu sempena peluncuran PEKA Simpan SSPN bagi kelahiran baharu yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sini hari ini. Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata PTPTN sentiasa berusaha memperkasakan penabungan sebagai agenda utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan selain mengubah minda masyarakat daripada 'meminjam' kepada 'menabung'.
"Kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan syarikat korporat amat dialu-alukan bagi membantu golongan asnaf mengutamakan pendidikan tinggi untuk mengubah masa depan keluarga mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial