AM

Lebih 180,000 Komuniti Di Sabah Terima Manfaat Daripada Projek Sukarelawan Siswa Di Sabah

28/04/2025 08:47 PM

KOTA KINABALU, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 189,064 komuniti di Sabah telah mendapat manfaat daripada 1,577 projek sukarelawan, yang dijalankan oleh para mahasiswa terpilih daripada Universiti Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta, Institut Pendidikan Guru Malaysia, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tahun ini merupakan tahun kesembilan sukarelawan di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa, menjalankan 28 misi sukarelawan sejak 2015 melibatkan 793 siswa di 50 lokasi di Sabah.

“Kesemua sukarelawan pada hari ini akan dilantik menjadi ejen perpaduan, sebagai usaha untuk memperkukuh semangat muhibah, menyemai nilai toleransi serta menggalakkan keterlibatan aktif masyarakat dalam membina negara yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan MADANI Berkhidmat : Misi Sukarelawan Siswa Ke Sabah, di Kompleks Belia dan Sukan Sabah (Persekutuan) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara merangkap Timbalan Pengerusi 1, Yayasan Sukarelawan Siswa Datuk Ruji Ubi.

Aaron berkata misi sukarelawan pada tahun ini yang bermula pada 12 hingga 30 April, melibatkan 100 sukarelawan siswa ditempatkan di tujuh kawasan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi dan Kampung Loktohog dalam daerah Kudat.

Kawasan lain ialah Kampung Ongkilan, Kota Marudu; Kampung Mangkulat, Kota Belud; Kampung Lohan, Ranau; Kampung Kipouvo, Penampang dan Kampung Merotai Besar, Kalabakan.

Beliau berkata antara projek utama yang berjaya dijalankan ialah pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dan laluan kerusi roda sepanjang 200 meter bagi murid program pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (Sk) Loktohog, Banggi Kudat.

Aaron berkata projek berkenaan membabitkan kos RM20,000 dan memberi manfaat kepada seramai 108 murid berbanding kos tender yang memerlukan RM118,000, dengan mengambil kira kos logistik ke Pulau Banggi.

Beliau berkata di Sk Merotai Besar, Tawau pula satu ruang makan rancangan makanan tambahan berjaya diubah suai, yang memberi manfaat kepada 1,060 orang murid berbanding sebelum ini hanya mampu memuatkan 80 hingga 100 murid pada satu-satu masa, dengan kos RM75,000 berbanding RM200,000 anggaran kos tender.

“Misi sukarelawan siswa, satu platform penting kerana menjadi tapak integrasi nasional bagi sukarelawan siswa daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, untuk bersatu demi matlamat yang lebih besar selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan agar semangat itu dapat dipupuk dan dibudayakan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan